" Jika anda sudah jumpa apa yang anda cari, maka janganlah anda tinggalkan mereka yang sedang mencari perkara yang sama iaitu ISLAM.. "




Monday 26 December 2011

~ Jahiliyah dan KITA ~

Bismillah..
Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah. Sekali lagi diberikan ilham oleh Yang Maha Esa untuk menulis satu lagi pendapat yang ana kira cukup penting iaitu JAHILIYAH DAN KITA.
Selawat dan Salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW atas komitmen baginda memastikan kita, umat akhir zaman merasai hak kehidupan kita sebagai seorang MUSLIM yang MU'MIN, InsyaAllah..


Mengapa ya terdetik untuk menulis mengenai tajuk ini? Tempoh hari baru berjalan di JOHOR. Sempat juga menatap jiran kita di seberang, Singapura. Fenomena yang seperti biasa kita lihat di mana-mana pun, Melayu Islam tidak bertudung, berpakaian ketat, berdua-duaan. Itu untuk yang perempuanlah. Untuk lelaki, mungkin merempit itu satu hobi, melepak sana sini seperti tiada tanggungjawab yang perlu diselesaikan ataupun mungkin sudah selesai tugas mereka itu. Wallahu'alam..


Tetapi sedar tak sedar, sama sahaja kita dengan mereka dahulu. Siapa mereka tu? Mereka merujuk kepada manusia SEBELUM kedatangan Nabi Muhammad SAW, selaku utusan Allah yang terakhir membawa risalah yang mulia. Sebelum kita meneroka satu persatu, apa itu JAHILIYAH sebenarnya? Ana kira ramai dah tahu. Tapi takpalah. Kita sebut juga di sini.


DEFINISI


Jahiliyah merupakan perkataan Arab. Kata dasarnya ataupun root word dia ialah jahil yang bermaksud tidak mengetaui ataupun tiada pengetahuan. Jadi, Zaman Jahiliyah merupakan zaman di mana masyarakatnya tidak mempunyai pengetahuan, tidak bertamadun dan runtuhnya moral. Tamadun Barat pernah mengalami zaman ini yang dikenali sebagai Zaman Renaissance ataupun Zaman Gelap. Ciri-cirinya sama, zaman ilmu dipinggirkan.


GAMBARAN


Antara persamaan yang ana cuba ketengahkan ialah dari segi moral dan akhlak. Zaman Jahiliyah, perbuatan MINUM ARAK, BERJUDI dan BERZINA berlaku tidak terkawal. Sehinggakan kepercayaan mereka, kaum lelaki yang tidak melakukan perkara tersebut bukanlah lelaki yang sebenar. Kaum wanita tidak diberikan hak mereka. ANAK PEREMPUAN DITANAM HIDUP-HIDUP kerana mereka mempercayai kehadiran mereka akan membawa sial. Ada disebutkan di dalam Al-Quran, mereka hanya ada 2 pilihan terhadap anak perempuan yang dilahirkan. Pertama, sama ada menanam mereka hidup-hidup ataupun hidup dalam keadaan yang hina. Itulah pegangan yang mereka amalkan.


Keadaan ekonomi cukup tidak stabil. Amalan RIBA dan PENINDASAN berlaku secara berleluasa. MEROMPAK dan MENCURI ibarat pekerjaan harian. Yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin. Barang-barang dagangan dirompak ditengah perjalanan. Penipuan dalam sukatan dan timbangan turut dilakukan.


PERSAMAAN


Sekali imbas, memang memperlihatkan ketidak tamadunan mereka. Tetapi cuba kita tengok zaman ini. Semua yang mereka lakukan wujud juga pada zaman ini malah lebih advance daripada mereka. Kegiatan MINUM ARAK, BERJUDI dan BERZINA bukanlah sesuatu yang asing lagi. Kilang Arak pun masih wujud di Malaysia, sebuah negara yang majoritinya beragama ISLAM. Berjudi, tak perlu dibilang. Pusat-pusat judi, kegiatan nombor ekor seolah-olah direla akan kewujudannya. Genting Highland terkenal dengan pusat perjudian. Genting Highland itu di mana? Di Malaysia kan. Soal Zina cukup sedih. Jumlah anak luar nikah yang didaftarkan seramai 200,000 orang dan lebih. Yang didaftarkan. Yang dibuang belum dikira lagi. Macam mana anak luar nikah ini terhasil? Sudah tentu melakukan perbuatan Zina, persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa ikantan perkahwinan yang sah. Melayu Islam yang pegang piala kejuaraan dalam menghasilkan jumlah sebesar ini.


Aspek ekonomi, RIBA dan PENINDASAN bukan main rancak lagi. Perbankan yang mengamalkan riba. Sistem Kad Kredit. Mata wang kertas. Semuanya tidak membawa keuntungan malah menuju kehancuran. Merompak dan mencuri. Sekarang ini, semuanya berlaku cukup sistematik. Orang yang pakai tie pun boleh mencuri. Orang panggil pencuri profesional. Sign projek, dapat duit. Cukup mudah. Yang kaya makin besar rumah mereka, makin banyak duit. Yang miskin, makin tiada rumah apatah lagi duit.


PENGAJARAN


Bila sebut perkara ini, rasanya semua sudah sedia maklum. Malah tak perlu pun nak dituliskan sebenarnya. Tapi hakikat manusia. Kejap, dah lupa.


Sabda Rasulullah " Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan yang asing dan Islam akan pergi dalam keadaan yang asing. Maka beruntunglah mereka yang asing itu.."


Islam pada hari ini memang dianggap sukup asing. Ajarannya sudah ramai yang meninggalkan. Maka, yang sedikit itulah kita panggil sebagai golongan asing, iaitu golongan yang mengamalkan Islam disaat orang memandangnya sesuatu yang asing. Tidak mahukah kita berada dalam golongan itu?


" Aku meninggalkan kepada kamu 2 perkara. Sekiranya kamu berpegang dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. 2 perkara tersebut ialah Al-Quran dan Sunnahku.." ( Sabda Rasulullah )


Dalam al-Quran dan Hadith Nabi, ada disebutkan cara kehidupan yang sejahtera. Tinggal kita saja yang mahu kaji dan amal ataupun tidak.


Maka sahabat-sahabat sekalian, sekali lagi saya mengajak anda semua. Tegakkanlah Islam dalam dirimu nescaya Islam akan tertegak di sekelilingmu. Sama-sama kita koreksi diri, mana kedudukan kita di sisi Allah Taala, bukan kedudukan kita di sisi manusia. Kerana apa? Kerana kepada Allah kita kembali. Bukan kepada manusia. Manfaatkan Petunjuk yang Rasulullah wariskan, carilah ilmu sebanyak yang boleh agar kita beroleh keberkatan dalam hidup, InsyaAllah..


Wallahu'alam, Wassalamualaikum WBT.

1 comment:

  1. Jahiliah, kini kembali menular. Sebetulnya, bukan kembali menular, tetapi sentiasa menular. Tugas kita anak muda sebagai pembanteras jahiliyah.. :)

    ReplyDelete